Polis Terengganu rampas dadah bernilai lebih RM7 juta
Bernama
Disember 24, 2024 16:01 MYT
Disember 24, 2024 16:01 MYT
BANDAR PERMAISURI: Polis Terengganu berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 244 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM7.8 juta dalam operasi trafik di Kilometer 62 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Kampung Rahmat di sini pada Ahad.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata dadah itu ditemukan kira-kira 9 pagi di dalam sebuah kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang ditinggalkan seorang lelaki berusia 30-an yang melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit di lokasi berhampiran.
"Sebelum itu suspek dipercayai warga tempatan yang memandu kenderaan MPV itu berhenti secara mengejut dalam keadaan mencurigakan dalam jarak 100 meter di kiri bahu jalan daripada kawasan sepasukan anggota polis trafik sedang melakukan operasi.
"Pasukan trafik telah menghampiri MPV berkenaan dan seorang lelaki keluar dari kenderaan itu lalu terus melarikan diri ke kawasan kebun sawit," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di sini hari ini.
Mohd Khairi berkata polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berjaya membuka pintu MPV itu dan hasil pemeriksaan telah menemui guni berisi paket plastik perak dan keemasan berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 244 kg. Ia merupakan rampasan dadah terbesar di Terengganu tahun ini.
Tambah beliau, dalam operasi sama, polis turut mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian yang dipercayai rakan suspek.
"Semasa pemeriksaan, suspek (pemandu Mitsubishi Triton) cuba merempuh anggota polis sehingga memaksa polis melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan itu.
"Suspek terus memecut kenderaan melarikan diri dan pacuan empat roda itu telah dijumpai di ladang kelapa sawit dalam keadaan berkunci tanpa pemandu dan pemeriksaan di dalam kenderaan menemui plat nombor pendaftaran kenderaan asal Toyota Vellfire berkenaan," katanya.
Mohd Khairi menambah, usaha mengesan kedua-dua suspek turut dibantu oleh Unit Anjing Pengesan Polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA), namun setakat ini suspek masih gagal dikesan.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha mengesan suspek dan pemilik kenderaan sedang giat dijalankan dan kenderaan terlibat akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati dadah berkenaan dibawa masuk dari Kelantan untuk pasaran luar Terengganu dan ia boleh digunakan oleh seramai 1.2 juta orang penagih," katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA