Polis Terengganu pantau aktiviti jual dadah guna media sosial
Sharom Abu Bakar
Februari 13, 2018 05:46 MYT
Februari 13, 2018 05:46 MYT
Polis Terengganu mengawasi penggunaan media sosial terutama aplikasi whatsapp dan wechat bagi memastikan tidak wujud sindiket yang menjalankan kegiatan jual beli dadah menggunakan aplikasi itu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata inisiatif yang dilaksanakan bagi memastikan kegiatan seumpama itu tidak menular di negeri itu.
Beliau mengesahkan Terengganu bebas daripada sebarang kegiatan tersebut dan sehingga kini tiada kes dilaporkan.
“Bagaimanapun kita akan mengawasi media-media sosial ni supaya tidak ada yang terjebak terutamanya dalam kalangan pelajar yang membuat pembelian melalui media sosial,” jelas Datuk Aidi.
Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mendedahkan berkaitan kumpulan sindiket jenayah dan dadah yang dikesan menggunakan media sosial bagi merekrut ahli kongsi gelap, penjual dan keldai dadah.
Jelasnya kemajuan teknologi juga menyebabkan pelajar sekolah antara pelanggan aktif dikesan membeli dadah secara dalam talian menggunakan aplikasi Whatsapp dan Wechat.
Aidi berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk sama-sama membendung jenayah melibatkan para pelajar di negeri itu.
#Dadah
#jenayah
#Ketua Polis Negara
#media sosial
#pelajar
#polis
#sekolah
#sindiket
#WeChat
#WhatsApp