Polis Terengganu keluarkan 14,744 saman sepanjang Op Selamat 9

Bernama
Julai 21, 2016 07:51 MYT
Antara kesalahan tertinggi yang dicatatkan adalah kegagalan mematuhi had laju, memotong barisan, memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan. -Gambar fail
Polis Terengganu mengeluarkan sebanyak 14,744 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik sepanjang Op Selamat 9 yang bermula 29 hingga 13 Julai lalu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 6,327 berbanding 8,417 saman yang dikeluarkan tahun lepas.
Katanya antara kesalahan tertinggi yang dicatatkan adalah kegagalan mematuhi had laju, memotong barisan, memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan.
"Pada hari keenam paling banyak saman dikeluarkan iaitu 1,481 merangkumi semua jalan termasuk laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) diikuti hari ke tujuh sebanyak 1,359 saman," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, pada Khamis.
Menurutnya dalam tempoh dua minggu itu juga sebanyak 607 kes kemalangan dicatatkan dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 26 kes berbanding 581 kes pada Op Selamat tahun lalu.
Jelasnya sebanyak 565 kemalangan melibatkan laluan biasa manakala 42 kes kemalangan lagi dicatatkan sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).
Rosli berkata jumlah kes kematian juga menunjukkan peningkatan sebanyak empat kes dimana pada tahun lalu hanya 12 kematian direkodakan namun sepanjang tempoh itu juga tiada kemalangan maut direkodkan di LPT 2 berbanding tahun lalu sebanyak dua kes maut dilaporkan.
"Sebanyak 14 kes kemalangan maut melibatkan 16 kematian dilaporkan di seluruh negeri ini melibatkan jalan negeri, persekutuan dan pantai..namun di LPT tiada kes kehilangan nyawa dalam tempoh itu.
Beliau berkata Kuala Terengganu merekodkan kes kemalangan tertinggi iaitu 217 kes diikuti Kemaman (90), Dungun (77), Marang (70), Besut (64), Setiu (61) dan Hulu Terengganu (28).
#Ketua Polis Terengganu #LPT2 #Rosli Ab Rahman #saman
;