Polis Terengganu: Jangan pandang remeh kes curi kecil
Bernama
Januari 13, 2013 18:05 MYT
Januari 13, 2013 18:05 MYT
Polis Terengganu meminta orang ramai, khususnya penduduk kampung agar tidak memandang remeh kes kecurian kecil dan membuat laporan polis jika ada insiden sedemikian di kawasan mereka.
Ketua Polis negeri Datuk Jamshah Mustapa berkata sikap pandang ringan itu boleh membawa perbuatan jenayah lebih besar jika tidak dibendung dari awal.
"Walau kes kecil, kita tetap ambil serius kerana bermula dengan kecurian kecil, jika dibiar pencuri itu akan terus berleluasa," katanya pada Ahad.
Selain itu katanya, jika tiada laporan dibuat polis akan menganggap kawasan berkenaan bebas jenayah dan selamat.
"bila ada maklumat kita akan membuat rondaan dan pemantauan di kampung terbabit sekali gus dapat mengurangkan kadar jenayah di negeri ini," katanya.
Jamshah juga menegaskan tanpa kerjasama rakyat, polis sukar mengekang aktiviti jenayah.
Katanya buat masa ini, beberapa program yang dilaksana bersama masyarakat seperti 1Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung 1Polis dan 1Masjid 1Polis, dapat mengurangkan kadar jenayah di Terengganu.
Sehubungan itu katanya, Polis Terengganu akan mempergiatkan usaha mendekati masyarakat bagi menggalakkan mereka menjadi ejen polis di akar umbi.