Polis Terengganu buka 54 kertas siasatan tatatertib sepanjang 2023
Bernama
Januari 7, 2024 17:48 MYT
Januari 7, 2024 17:48 MYT
KUALA TERENGGANU: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu membuka sebanyak 54 kertas siasatan tatatertib sepanjang 2023.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata jumlah itu melibatkan lima kertas siasatan terhadap pegawai kanan, 65 pegawai rendah polis dan dua pegawai awam.
"Sebanyak 45 Kertas Enkuiri Tatatertib juga telah dibuka melibatkan sembilan pegawai kanan dan 50 pegawai rendah polis bagi tempoh sama.
"Sementara itu, siasatan kes Op Selendang juga telah selesai dijalankan dan sebanyak 12 anggota polis telah diambil bekerja semula," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan di IPK Terengganu di sini hari ini.
Pada 24 Jan tahun lepas, Bernama melaporkan dua pegawai dan 12 anggota polis ditahan kerana menjadi ahli pertubuhan haram Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) yang terlibat dalam aktiviti keganasan dan gengsterisme di sekitar Dungun dan Kuala Terengganu.
Bekas Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa bagaimanapun berkata hanya sebilangan daripada mereka yang ditahan terlibat secara langsung dengan perlakuan jenayah, namun menurutnya menjadi ahli pertubuhan haram juga merupakan suatu bentuk kesalahan.
Sementara itu, Mazli berkata IPK Terengganu turut mencatatkan prestasi yang amat baik sepanjang tahun lepas, antaranya kadar jenayah indeks telah menurun sebanyak 7.24 peratus iaitu kepada 1,370 kes berbanding 1,477 kes pada 2022.
Menurutnya, penyelesaian kes oleh Jabatan Siasatan Jenayah juga mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan iaitu sebanyak 1,021 kes atau 74.5 peratus.
"Bagi statistik tangkapan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pula, kes bekalan atau memiliki di bawah Seksyen 6, 6B, 12(2), 39A (1), 39A (2) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 menurun kepada 3,496 orang berbanding 3,880 orang pada tahun sebelumnya.
"Nilai rampasan dadah sepanjang tahun lepas pula adalah sebanyak RM4,478,042.48 antaranya menerusi Op Camar yang melibatkan rampasan tujuh kilogram pil yaba di Besut," katanya.
Kes jenayah komersial menyaksikan jumlah kerugian pada tahun lepas meningkat kepada RM33,324,213.03 berbanding RM24,382,776.53 pada tahun sebelumnya dengan sejumlah 658 tangkapan telah dibuat berbanding 536 tangkapan pada 2022, katanya.
-- BERNAMA