Polis temui mayat tanpa pakaian, organ dalaman hilang di Bukit Dugang

Fareez Azman
November 12, 2020 11:55 MYT
Mayat yang dijumpai itu tidak mempunyai identiti atau kad pengenalan, tanpa baju atau seluar, dan dalam keadaan terapung. - Foto: PDRM
SEPANG: Polis menemui satu mayat tidak berpakaian di Kampung Orang Asli, Bukit Dugang, Dengkil pada Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, pihaknya menerima maklumat dari orang awam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Pada 10 November 3.20 petang, polis menerima maklumat menjumpai satu mayat dalam kolam dalam keadan terapung di kawasan Kampung Orang Asli, Bukit Dugang, Dengkil.
"Mayat ini kami (polis) tidak menjumpai identiti atau kad pengenalan, tidak memakai baju atau seluar, dan dalam keadaan terapung," katanya dalam sidang media di Sepang pada Khamis.
Pemeriksaan ke atas mayat berkenaan mendapati, organ dalaman telah hilang dipercayai dimakan binatang buas.
"Mangsa dianggarkan berketinggian 5.10 kaki, berat lebih kurang 130kg.
"Pihak hospital mendapati hanya terdapat tiga jari yang mempunyai kulit untuk dikesan cap jari," katanya.
Mayat berkenaan dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lima hari lalu sebelum penemuan mayat mangsa.
Sehingga kini, punca kematian masih belum dapat disahkan dan siasatan masih dijalankan.
Kes diklasifikasikan sebagai Kes Mati Mengejut.
#polis #hilang #meninggal dunia #mayat #Sepang #mangsa #mati #siasatan #Kg Orang Asli #Bukit Dugang #Dengkil #Wan Kamarul Azran Wan Yusof
;