Polis temui mayat rentung di dalam SUV terbakar
Fareez Azman
Oktober 28, 2020 16:19 MYT
Oktober 28, 2020 16:19 MYT
SEPANG: Polis menemui mayat rentung di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbakar di kawasan pinggir hutan berhampiran Airport City Business Centre, Sepang pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah kenderaan terbakar di kawasan itu jam 3.30 pagi.
"Pengadu yang tinggal berhampiran lokasi kejadian menghubungi talian kecemasan selepas terdengar bunyi letupan sebelum melihat kenderaan itu terbakar.
"Pasukan bomba kemudian menghantar pasukan untuk memadamkan kebakaran itu.
"Pemeriksaan kemudian menemui mayat rentung 90 peratus bahagian badan di tempat duduk penumpang hadapan sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba," katanya di sini, hari ini.
Katanya mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Sementara itu katanya polis menemui kesan kebakaran dalam lingkungan 10 meter dari kenderaan berkenaan dan identiti pemilik SUV itu sudah dikenal pasti.
#mayat rentung
#Kenderaan Terbakar
#siasatan
#anggota bomba
#Airport City Business Centre
#Ketua Polis Daerah Kajang
#Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan