Polis tempat lebih 500 anggota kawal aliran trafik Gua Musang
Bernama
April 18, 2023 11:10 MYT
April 18, 2023 11:10 MYT
KOTA BHARU: Polis akan menempatkan lebih 500 anggotanya di Gua Musang menerusi Op Selamat bermula 20 April ini bagi melancarkan kesesakan trafik yang dijangka berlaku di jajahan itu sempena Aidilfitri tahun ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata jumlah itu termasuk 254 anggota trafik yang akan mengawal lalu lintas sepanjang lapan hari operasi dijalankan.
"Tahun ini, kita akan memberi lebih tumpuan kepada aliran trafik di Gua Musang berikutan laluan utama ditutup sementara untuk kerja pembaikan jalan.
"Kita jangkakan aliran trafik mungkin lebih sesak kerana perantau akan mengambil peluang pulang beraya selepas beberapa tahun berdepan kekangan akibat COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar dan Kongsi Rezeki Ramadan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini malam tadi.
Muhamad Zaki berkata Op Lancar akan diadakan terlebih dahulu selama dua hari bermula hari ini sebagai persiapan awal mengenal pasti aliran trafik di Gua Musang.
Beliau berkata menerusi Op Lancar, pihaknya akan menentukan jalan-jalan yang mungkin akan ditutup, dilencongkan atau dijadikan jalan sehala bagi mengatasi kesesakan trafik.
Bagaimanapun katanya, polis turut melakukan tugas sama seperti biasa di semua 'hotspot' jajahan lain selain tugasan mengekang sebarang aktiviti jenayah termasuk kes pecah rumah, kecurian dan permainan mercun.
"Kita juga mengehadkan cuti anggota tidak melebihi 10 peratus daripada keseluruhan lebih 3,000 anggota yang ada bagi memastikan keselamatan dan kelancaran jalan raya sepanjang perayaan ini," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak sebarang kemalangan berlaku.
-- BERNAMA