Polis tembak mati tiga penjenayah warga asing

Sinar Harian
Mac 12, 2024 12:20 MYT
Yahaya (dua, kiri) menunjukkan senjata yang ditemui dalam kereta dinaiki suspek. - Gambar/ Sinar Harian
KUANTAN: Tiga penjenayah warga asing digelar Geng Centro yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun dan pecah kedai emas ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Kilometer 17 Jalan Pekan-Kuantan di sini pada tengah malam Isnin.
Suspek berusia 34 hingga 44 tahun itu terdiri daripada dua warga Vietnam dan seorang warga Bangladesh.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas kereta jenis Proton Waja dinaiki suspek menemui dan merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama tujuh butir peluru.
Menurutnya, turut ditemui beberapa peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah termasuk dua bilah parang dan dua set nombor pendaftaran kenderaan.
"Geng Centro dianggotai tiga warga asing ini dikenal pasti terlibat dalam beberapa kes samun dan pecah kedai emas yang dilaporkan berlaku di Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang sejak Jun tahun lalu.
"Modus operandi digunakan kumpulan penjenayah ini ialah menyerang dan menyamun mangsa menggunakan kekerasan selain menjadikan hari cuti untuk memecah masuk kedai emas," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.
Yahaya berkata, jumlah keseluruhan kerugian mencecah lebih RM4 juta.
"Susulan kes tersebut, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Pahang yang menjalankan operasi bersama berjaya mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang, Pekan kira-kira jam 11.30 malam pada Isnin.
"Menyedari kehadiran pihak polis, suspek terus memecut kenderaan untuk melarikan diri melalui Jalan Pekan-Kuantan," katanya.
Jelasnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki suspek menghimpit dan melanggar belakang kenderaan polis sebelum berhenti.
"Semasa anggota (polis) turun untuk melakukan pemeriksaan, suspek melepaskan beberapa das tembakan.
"Anggota polis terlibat bertindak melakukan tembakan balas untuk mempertahankan diri dan mengenai suspek yang berada dalam kereta tersebut," ujarnya.
Tambah Yahaya, sebelum kejadian, suspek dipercayai merancang untuk melakukan jenayah di kawasan Pekan.
"Siasatan awal mendapati, salah seorang suspek (warga Bangladesh) menetap di negara ini berdasarkan kereta yang digunakan didaftarkan atas namanya sendiri.
"Dua suspek warga Vietnam didapati telah keluar masuk ke negara ini beberapa kali dipercayai untuk melakukan jenayah," katanya.
"Dengan tumpasnya kumpulan penjenayah Geng Centro ini, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dan pecah kedai emas termasuk tiga kes di Perak dan masing-masing satu kes di Selangor, Pahang serta Negeri Sembilan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," ujarnya. - Sinar Harian
#polis tembak perompak #Geng Centro #warga asing #tembak mati
;