Polis tembak mati suspek sindiket penyeludupan migran

Astro Awani
September 24, 2019 05:21 MYT
Kelihatan pegawai polis sedang menjalankan siasatan ekoran seorang suspek yang mati ditembak kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan manusia dekat sebuah pusat urut berdekatan pusat beli belah Tesco Extra Puchong malam tadi. --fotoBERNAMA
Seorang lelaki warga tempatan disyaki ahli sindiket pemerdagangan manusia warga asing mati ditembak polis di Jalan Bandar 10, Puchong, malam tadi.
Kejadian jam 7 malam itu berlaku di hadapan sebuah pusat urut.
Ketika kejadian, polis dipercayai cuba menahan suspek yang sedang memandu sebuah Perodua Alza bersama lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.
Bagaimanapun, suspek cuba merempuh anggota polis yang menahan keretanya, menyebabkan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan mengenainya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan salah satu das tembakan yang dilepaskan polis turut mencederakan seorang PATI dalam kenderaan berkenaan.
Katanya lagi, kesemua lapan PATI dalam kenderaan terbabit berjaya ditangkap.
Semakan mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama seorang wanita beralamat di Gombak.
Siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan.
#Abdul Hamid Bador #Gombak #Ketua Polis Negara #mati #migran #Myanmar #pati #penyeludupan #Puchong #rempuh anggota polis #siasatan #sindiket #sindiket pemerdagangan manusia #suspek #tembak #warga asing
;