Polis tembak mati lelaki amuk, bunuh rakan sekerja wanita

Dewi Nur Harasha Alias
September 23, 2019 23:01 MYT
Polis masih menyiasat punca kejadian dan bagaimana suspek boleh membawa masuk dua bilah parang dan sebilah pisau ke dalam kilang tersebut. - Foto pembaca/media sosial
Polis menembak mati seorang lelaki yang cuba menyerang polis menggunakan dua bilah parang dan sebilah pisau dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Lepas, petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, suspek yang berusia 25 tahun sebelum itu dipercayai telah mengamuk di dalam kilang terbabit dan menetak mati seorang penyelia wanita berusia 47 tahun serta mencederakan pengarah bahagian keselamatan kilang berusia 53 tahun.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan A. Anbalagan memaklumkan anggota polis yang menerima maklumat mengenai kejadian tersebut, bergegas ke lokasi dan mengarahkan suspek meletakkan senjata serta menyerah diri.
Bagaimanapun suspek yang ketika itu memegang dua bilah parang enggan menyerah diri dan bertindak cuba menyerang anggota polis berkenaan menyebabkan anggota polis itu terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.
"Sebelum kejadian itu, suspek telah menetak seorang pekerja perempuan dan seorang pekerja lelaki. Setelah kejadian itu, pihak keselamatan ini telah hubungi polis.
"Sehigga kini seorang lelaki (suspek) telah meninggal dunia dan seorang perempuan juga telah meninggal dunia di hospital, dan seorang lagi lelaki sedang menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita.
Menurut Anbalagan, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki yang bekerja sebagai pembantu kualiti sejak dua tahun lalu itu berada dalam kemurungan sejak beberapa bulan lepas dan sudah seminggu tidak hadir bekerja.
Namun, hari ini suspek hadir ke kilang dan menghantar surat peletakan jawatan sebelum secara tiba-tiba mengamuk dan menetak kedua-dua mangsa.
Tambah Anbalagan, pihak polis masih menyiasat punca kejadian dan bagaimana suspek boleh membawa masuk dua bilah parang dan sebilah pisau ke dalam kilang tersebut.
Penyelia wanita itu dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala seorang lagi mangsa dilaporkan stabil dan masih dirawat di hospital.
#kilang di Bayan Lepas #lelaki amuk #penyelia wanita #Polis Daerah Barat Daya #tetak parang
;