Polis tembak mati 3 lelaki geng pecah rumah, seludup senjata api

Bernama
November 13, 2024 17:15 MYT
Hamzah (kanan) menunjukkan senjata yang ditemui pada suspek.
GEORGE TOWN: Polis menembak mati tiga lelaki yang aktif menjalankan kegiatan seludup senjata api, pecah rumah dan curi kenderaan mewah sehingga menyebabkan kerugian lebih RM4 juta, dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Changkat-Pulau Burung, Nibong Tebal dekat sini hari ini.

Ringkasan AI
  • Polis menembak mati tiga lelaki yang terlibat dalam kegiatan seludup senjata api, pecah rumah, dan curi kenderaan mewah yang mengakibatkan kerugian lebih RM4 juta dalam kejadian berbalas tembakan di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
  • Dalam operasi cegah jenayah, polis menemui dua kereta yang mencurigakan, dan suspek melepaskan tembakan terlebih dahulu. Polis bertindak balas, menyebabkan ketiga-tiga suspek berusia 30 hingga 42 tahun itu mati di tempat kejadian. Senjata api, peluru, dan peralatan mencuri kenderaan ditemui di lokasi.
  • Suspek dipercayai aktif mencuri kenderaan mewah dan pacuan empat roda untuk diseludup ke negara jiran, dan polis mengesahkan bahawa insiden ini menyelesaikan 33 kes jenayah yang berlaku sejak awal tahun ini di Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dalam kejadian 5.30 pagi itu, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang dan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sedang menjalankan operasi cegah jenayah sebelum terserempak dengan dua kereta di kawasan terbabit.
"Polis bertindak menghampiri dua kereta Honda Accord dan Perodua Myvi itu kerana berada dalam keadaan mencurigakan sebelum memperkenalkan diri sebagai pihak polis, tiba-tiba suspek terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis.
"Pasukan polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri dan hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lelaki berumur 30 hingga 42 tahun itu telah mati di tempat kejadian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan di tempat kejadian polis menemukan sepucuk pistol semi auto, sepucuk revolver, sekotak bullet master mengandungi 50 butir peluru 9mm luger A Usa, sekotak 9 mm luger mengandungi 44 butir peluru D62, dua bilah parang, kuku kambing, tukul besi dan pelbagai peralatan mencuri kenderaan.
Hamzah berkata semakan mendapati kereta Honda Accord yang digunakan mereka ialah kenderaan curi dan dilaporkan hilang di Seri Kembangan, Selangor manakala Perodua Myvi tiada rekod hilang.
Katanya, semasa kejadian kesemua suspek dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan samun di lokasi yang telah dikenal pasti iaitu tidak jauh dari tempat mereka berbalas tembakan.
"Siasatan awal mendapati tiga lelaki itu giat menjalankan kegiatan curi kenderaan mewah dan pacuan empat roda serta pecah rumah di sekitar negeri ini sejak awal tahun ini sehingga menyebabkan kerugian lebih RM4 juta.
"Modus operandi mereka ialah menyasarkan kediaman mewah sebelum memecah masuk dan mencuri manakala kenderaan mewah serta pacuan empat roda yang dicuri akan diseludup ke negara jiran untuk dijual di sana," katanya dan menambah senjata api diseludup dari negara jiran.
Beliau berkata kesemua mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hasil pemeriksaan mendapati suspek pertama yang berumur 42 tahun iaitu ketua kumpulan itu mempunyai 35 kesalahan lampau berkaitan jenayah serta lapan kesalahan narkotik.
Menurut beliau, suspek kedua mempunyai enam rekod lampau kesalahan narkotik manakala suspek ketiga tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan kesemua mereka dipercayai rakan sejenayah.
"Dengan tertumpasnya tiga penjenayah itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 33 kes curi kenderaan, samun dan pecah rumah yang berlaku di Pulau Pinang sejak awal tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
#geng pecah rumah #polis tembak mati #penjenayah mati ditembak #pulau pinang
;