Polis tembak kereta mewah bawa dadah lebih RM100,000
Bernama
April 29, 2024 20:51 MYT
April 29, 2024 20:51 MYT
KOTA BHARU: Polis Kelantan melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kereta mewah yang dipercayai membawa dadah dalam Operasi Tapis Bersepadu di Ketereh, di sini, Sabtu lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mengawal keadaan selepas pemandu kenderaan terbabit bertindak agresif dan cuba merempuh anggota polis yang menjalankan tugas.
Beliau berkata suspek lelaki berusia 31 tahun itu memandu kereta jenis Volkswagen Scirocco berwarna hitam ditahan pada 4.15 petang Sabtu di sebuah rumah di Taman Wadi Iman, di sini, selepas gagal meloloskan diri.
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan polis menemukan sebuah beg berisi 2,400 biji pil yaba, 9.25 gram heroin dan turut merampas kenderaan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Muhammad Zaki berkata tangkapan itu turut membawa kepada penemuan 2,000 pil yaba dalam kenderaan jenis Proton Persona warna kelabu yang diletakkan di hadapan rumah suspek.
Polis merampas kedua-dua kenderaan selain 4,400 pil yaba dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM175,635.
-- BERNAMA