Polis tegaskan wujud transaksi pembelian berlian merah jambu guna dana 1MDB

Astro Awani
April 13, 2019 11:55 MYT
Rosmah berkata isu pembelian berlian merah jambu itu merupakan satu fitnah yang dibuat kerana suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan perdana menteri. - Gambar fail
Polis menafikan dakwaan yang dibuat oleh isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian berlian merah jambu berharga AS$23 juta.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman, Datuk Khalil Azlan Chin menegaskan terdapat jejak kewangan menunjukkan transaksi pembelian berlian merah jambu itu dibuat menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Walaupun 'pink diamond' tersebut gagal ditemui sewaktu serbuan polis, namun bukti yang terkumpul jelas membuktikan wujud transaksi pembeliannya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini Rosmah berkata isu pembelian berlian merah jambu itu merupakan satu fitnah yang dibuat kerana suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan perdana menteri.
Rosmah mendesak kerajaan Pakatan Harapan meminta maaf kepada rakyat kerana fitnah itu selepas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah memberitahu Dewan Rakyat bahawa isteri seorang VVIP tidak membeli berlian merah jambu.
Amiruddin menjelaskan berlian merah jambu yang dikaitkan dengan kes berprofil tinggi itu tidak dibeli oleh isteri VVIP dan seorang ejen jualan yang membawa berlian itu bersama barang kemas lain ke negara ini untuk dilihat oleh wanita berkenaan.
#1MDB #berlian #merah jambu #Najib Razak #PDRM #Pink Diamond #Rosmah Mansor
;