Polis tawar diskaun saman 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina
Hilmi Malik
Januari 14, 2020 14:27 MYT
Januari 14, 2020 14:27 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tawaran diskaun sebanyak 50 peratus terhadap pengguna jalan raya yang masih mempunyai saman tertunggak menerusi pembayaran platform atas talian sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula 18 hingga 22 Januari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor bagaimanapun, berkata, tawaran itu hanya khusus kepada kesalahan tertentu.
“Tawaran diskaun ini hanya untuk kesalahan tertentu dan tidak termasuk kesalahan bagi memandu laju, memandu di laluan kecemasan, langgar lampu isyarat, memotong garisan berkembar serta guna alat komunikasi ketika memandu," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian OP Selamat Tahun Baharu Cina ke-16 di Persada Plus, di sini pada Selasa.
Menjelas lanjut mengenai OP Selamat Tahun Baharu Cina, beliau berkata, polis akan melaksanakan pengutkuasaan secara menyeluruh tanpa kompromi terhadap pesalah jalan raya yang masih enggan mematuhi undang-undang jalan raya.
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, OP Selamat Tahun Baharu Cina kali ini juga akan menyasarkan kumpulan ‘mat rempit’ yang sering dikaitkan dengan aktiviti jenayah ekoran laporan yang diterima oleh polis hasil aduan orang ramai.
“Saya beri amaran kepada semua kumpulan mat rempit, pihak trafik sudah atur strategi secara khusus dan sudah tahu lokasi untuk lakukan serbuan nanti.
“Kita terima banyak aduan orang ramai, golongan ini sering buat gangguan tak kira di kawasan rumah atau lebuh raya yang menggugat ketenteraman awam dan kumpulan ini kerap dengan perbuatan jenayah”, tegas Mazlan lagi.