Polis tangkap 12 suspek IS di Hulu Langat - Khalid

Astro Awani
April 26, 2015 18:41 MYT
Antara barangan yang berjaya dirampas oleh pihak polis dalam serbuan itu - Foto PDRM
Pasukan polis dari Bahagian E8, Cawangan Khas hari ini berjaya menahan 12 suspek serta merampas sejumlah bahan letupan di Hulu Langat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua suspek dipercayai sedang merancang untuk melakukan huru hara di dalam negara.
"Pada 25 dan 26 April, bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas telah melancarkan satu operasi di Hulu Langat, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur ke atas sel anggota kumpulan pengganas yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas militan IS.
"Seramai 12 orang suspek lelaki warganegara Malaysia berusia dalam lingkungan umur 17 sehingga 41 tahun telah berjaya ditangkap kerana disyaki sedang merancang untuk melancarkan serangan ke atas sasaran-sasaran strategik dan berkepentingan kerajaan di sekitar Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kesemua suspek dipercayai sedang merancang untuk melakukan huru hara di dalam negara. - Foto PDRM
BACA: Polis tahan 17 orang disyaki rancang lakukan keganasan di ibu negara
BACA: PDRM tekad perangi kumpulan militan - Ketua Polis Negara
BACA: PDRM guna pendekatan 'brainwash' ke atas tahanan IS rakyat tempatan
Kata Khalid, rancangan untuk melancarkan serangan oleh anggota sel ini adalah sebagai menyahut seruan pemimpin kanan IS di Syria.
"Mereka mahu melancarkan serangan ke atas kepentingan negara Islam sekular yang didakwa sebagai tindak balas terhadap operasi penangkapan ke atas mereka yang disyaki terlibat atau mempunyai kaitan dengan IS oleh pihak PDRM
"Di dalam operasi tersebut, pihak polis telah berjaya merampas lebih kurang 20 kilogram serbuk dipercayai Ammonium Nitrate, lebih kurang 20 kilogram serbuk dipercayai Potassium Nitrate, lebih kurang dua liter cecair dipercayai kerosin, dua unit alat kawalan jauh.
"Selain itu polis turut merampas motor penggera dan pelbagai jenis wayar, empat biji bateri 9 volt, penimbang digital, dua biji penyukat, tiga batang paip PVC dan penutup, bendera IS dan beberapa lagi peralatan dipercayai untuk digunakan bagi menghasilkan bahan letupan," ujarnya.
Suspek terbabit dipercayai mahu melancarkan serangan ke atas kepentingan negara Islam sekular. - Foto PDRM
Katanya lagi, kesemua 12 orang lelaki berkenaan ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab 6A - Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2013 (Akta 747).
Terdahulu, Khalid mengesahkan penahanan suspek berkenaan menerusi melalui akaun twitter dan Facebook rasminya.

Syabas E8 Caw Khas @PDRMsia hari ni b'jaya t'kap 12 org di Ulu Langat/KL yg rancang hurahara kan Negara. Bahan letupan dirampas. Go PDRM Go

— Khalid Abu Bakar (@KBAB51) April 26, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Khalid Abu Bakar #PDRM
;