Polis tahan warga Thailand, rampas dadah bernilai lebih RM2 juta
Bernama
Ogos 20, 2023 19:13 MYT
Ogos 20, 2023 19:13 MYT
KOTA BHARU: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2 juta dan menyita harta bernilai RM379,817 dalam Ops Tapis Khas yang dijalankan mulai 6 Ogos hingga semalam (19 Ogos).
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata seramai 416 orang termasuk dua pelajar telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
Beliau berkata rampasan terbesar bagi operasi itu melibatkan 160,000 pil yaba bernilai RM1.7 juta selepas seorang lelaki warga Thailand berusia 41 tahun ditahan di depan sebuah rumah di Lorong Masjid di sini pada 18 Ogos lepas.
"Dalam kejadian itu, sepasukan anggota Jabatan Sisatan Jenayah Narkotik telah menahan suspek yang sedang memegang satu guni berwarna putih di tangan kanannya.
"Pemeriksaan ke atas guni, ditemukan 17 ikatan bungkusan kertas kekuningan setiap satunya bertulis Y1 mengandungi sebanyak 100,000 pil yaba," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.
Muhamad Zaki berkata soal siasat ke atas suspek telah membawa polis ke sebuah stor di belakang rumah dan di situ ditemukan pula dua besen plastik biru mengandungi 60,000 pil yaba.
Beliau berkata siasatan mendapati suspek, yang bekerja di kedai makan, baru sahaja dibebaskan dari penjara di Thailand dan dia telah ditahan reman dari 19 hingga 25 Ogos untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Polis turut menyita sebuah motosikal Honda Scoopy dan kereta Nissan Teana bernombor pendaftaran Thailand bernilai RM27,500," katanya.
Muhamad Zaki berkata pihaknya turut merampas 15.52 kilogram (kg) ganja bernilai RM48,112 setelah menahan dua lelaki Thailand berusia 39 dan 52 tahun di Jeram Perdah, Pasir Mas pada 14 Ogos lepas.
Katanya serbuan di sebuah rumah di Kampung Batu Sebutir, Pasir Puteh pada 14 Ogos lepas pula menyaksikan polis menahan empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 37 tahun dan merampas 140 liter air ketum, daun ketum (85 kg) dan ubat batuk (36 liter) bernilai RM3,630.
-- BERNAMA