Polis tahan warga emas penjaga rokok seludup, 1,984 karton rokok dirampas
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 16, 2022 18:50 MYT
Mac 16, 2022 18:50 MYT
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah teres yang dijadikan stor penyimpanan rokok tanpa cukai dan merampas 1,984 karton rokok dianggarkan bernilai RM275,000 pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam Ops Kontraban sekitar pukul 7 malam itu, polis turut menahan seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun.
Menurut Soffian, lelaki itu baru bekerja selama lima bulan dengan sindiket berkenaan.
Katanya, siasatan juga mendapati dia dibayar gaji sebanyak RM3,000 sebulan sebagai pengedar dan penjaga stok rokok mereka.
“Hasil siasatan awal (mendapati) premis menyimpan rokok ini merupakan sebuah rumah teres yang disewa oleh seorang lelaki warga tempatan masih yang bebas dan kita masih mengesannya.
“(Sementara) tangkapan lelaki Cina ini merupakan pekerja yg baru bekerja lima bulan di premis menguruskan dari dr segi menjaga rokok (stok) dan menghantar kepada pembeli yang melanggan rokok ini (dan) dia digajikan RM3,000 sebulan,” kata Soffian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Soffian berkata, rokok-rokok seludup itu dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan termasuk dijual di kedai-kedai runcit.
Kata Soffian, pihak polis kini sedang mengesan saki baki sindiket terbabit termasuk seorang lelaki warga tempatan yang menyewa rumah yang dijadikan stor penyimpanan rokok seludup tersebut.
Suspek direman selama tujuh hari bermula 15 Mac hingga 21 Mac untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.