Polis tahan wanita tipu keputusan ujian COVID-19 untuk naik pesawat

Munirah Mudzamli
Ogos 1, 2021 23:52 MYT
Wanita terbabit dikatakan cuba untuk memohon permit di Balai Polis KIA untuk ke Bintulu dengan membawa slip keputusan palsu sebelum disedari anggota polis bertugas. - Gambar fail
KUCHING: Seorang wanita tempatan berusia 33 tahun ditangkap kerana dipercayai menipu keputusan ujian saringan COVID-19 untuk menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini, pada Sabtu.
Wanita terbabit dikatakan cuba untuk memohon permit di Balai Polis KIA untuk ke Bintulu dengan membawa slip keputusan palsu sebelum disedari anggota polis bertugas.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, wanita itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pengesahan kesahihah keputusan telah dibuat dan didapati berlaku penipuan pada keputusan ujian tersebut.
“Tangkapan telah dilakukan pada 31 Julai jam 8.15 malam di perkarangan Balai Polis Sg. Maong,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 22(D) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
#Sarawak #tipu #keputusan ujian COVID-19 #Saringan COVID-19 #KIA #Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching
;