Polis tahan wanita pukul ibu dengan penyapu, telefon bimbit

Astro Awani
April 25, 2021 21:46 MYT
Polis telah menahan wanita yang didakwa memukul ibu kandungnya dengan penyapu dan mengetuk kepala dengan telefon bimbit hari ini. - Foto PDRM
BUTTERWORTH: Polis telah menahan wanita yang didakwa memukul ibu kandungnya dengan penyapu dan mengetuk kepala dengan telefon bimbit hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 24 tahun itu ditahan di Flat Bagan Dalam, Butterworth jam 11. 20 pagi Ahad susulan laporan polis dibuat ibunya.
"Berdasarkan siasatan, suspek tidak mengaku memukul ibunya dengan penyapu dan telefon bimbit," katanya.
"Bagaimanapun pihak polis menahan reman suspek selama empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut." katanya ketika dihubungi pada Ahad.
BACA: Berang teman lelaki disuruh keluar, anak ketuk kepala ibu dengan telefon bimbit
Noorzainy berkata polis turut merampas sebatang penyapu plastik yang dipercayai digunakan suspek sewaktu memukul ibunya.
Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif.
Menurut Norzainy, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian semalam, suspek dikatakan telah memukul ibu kandungnya dengan sebatang penyapu, kerana berang dengan tindakan wanita itu meminta teman lelakinya keluar dari rumah.
Dalam kejadian jam 10 pagi di Pangsapuri Sri Bagan, Butterworth itu, wanita berusia 59 tahun itu turut diketuk dengan telefon bimbit di kepala selain diugut bunuh oleh anak perempuannya itu.
#Seberang Perai #pukul ibu #penyapu #Telefon bimbit #Polis Daerah Seberang Perai Utara #Flat Bagan Dalam
;