Polis tahan tujuh suspek, rampas dadah bernilai RM4.6 juta

Muhafandi Muhamad
April 18, 2022 16:49 MYT
Ayob Khan (tiga, kanan) bersama pegawai menunjukkan sebahagian dadah bernilai RM4.6 juta yang dirampas dalam enam serbuan di sekitar negeri ini pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Tujuh individu termasuk seorang wanita yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dengan modus operandi membawa masuk dadah dari Thailand berjaya ditahan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata penahanan tujuh suspek berkenaan yang berusia dari 25 hingga 46 tahun membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM4.6 juta.
“JSJN Bukit Aman dan JSJN Kelantan melancarkan enam serbuan di Kelantan dan menahan tujuh suspek berumur 25-46 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti syabu, pil yaba, ubat batuk bagi pasaran tempatan.
“Modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini menyeludup masuk dadah dari pangkalan haram untuk pasaran tempatan dan aktif sejak Disember tahun lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Ayob berkata dadah yang dirampas boleh digunakan ke atas lebih 600,000 penagih dadah.
Kesemua suspek berkenaan dipercayai mula aktif sejak Disember lalu dengan ada diantaranya bekerja sebagai pemandu bot, juruteknik peniaga dan sebagainya.
Mengulas lanjut Ayob berkata tangkapan dibuat melalui enam serbuan bermula 15 hingga 16 April lepas di beberapa tempat di Tumpat, Kota Bharu, Rantau Panjang dan sebagainya.
Selain dadah, pihaknya juga turut membuat sitaan ke atas beberapa barangan termasuk kereta, motosikal, barangan kemas, beg dan sebagainya bernilai RM5.1 juta.
Pihak polis katanya membuat tangkapan pertama membabitkan pasangan suami isteri di sebuah rumah di Pengkalan Chepa pada malam 15 April lepas.
Susulan penahanan suami isteri itu membawa kepada serbuan dan rampasan dadah berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan kesemua suspek direman sehingga 22 April depan.
"Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988 dan JSJN setakat ini telah menyita pelbagai aset sindiket ini yang dianggarkan bernilai RM538,943.50 termasuk 11 buah kenderaan, pelbagai barang kemas, jam tangan, telefon bimbit, beg berjenama dan wang tunai.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah berjumlah RM6,143,343.50 dan hasil operasi kali ini JSJN telah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri ini untuk pasaran tempatan," katanya lagi.
Beliau berkata JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang dikesan dengan menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222," katanya.
#JSJN Bukit Aman #ayob khan mydin pitchay #rampasan dadah #JSJN Kelantan #Syabu #Dadah
;