Polis tahan tujuh anggota sindiket ah long disyaki ugut peminjam
Bernama
April 8, 2024 22:00 MYT
April 8, 2024 22:00 MYT
JOHOR BAHRU: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita disyaki terbabit aktiviti pinjaman wang tanpa lesen atau 'Ah Long' menerusi beberapa serbuan di sekitar daerah ini bermula 28 Mac hingga semalam.
Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata kesemua mereka berusia antara 29 hingga 46 tahun itu dipercayai menerima upah daripada sindiket untuk membuat ugutan jenayah terhadap mangsa yang gagal membuat bayaran pinjaman.
"Mereka dipercayai bergiat aktif sejak Januari lalu dengan mendapat upah RM600 untuk menyimbah cat dan RM1,000 untuk melakukan khianat dengan menggunakan molotov cocktail ke rumah mangsa," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati ketujuh-tujuh warga tempatan itu positif dadah jenis methamphetamine.
Kumar berkata hasil siasatan mendapati sindiket pinjaman wang terbabit menyasarkan warga Malaysia yang bekerja di Singapura dan urusan transaksi kemasukan serta pembayaran balik pinjaman menggunakan akaun bank yang didaftarkan di luar negara.
Beliau berkata modus operandi sindiket tersebut adalah dengan membuat iklan tawaran pinjaman wang dalam Facebook dengan kapsyen 'Singapore legal money lenders' untuk memperdaya peminjam.
Menurutnya wang akan dimasukkan ke dalam akaun setelah peminjam memberikan butiran seperti nombor akaun, permit kerja serta alamat tempat tinggal walaupun perjanjian pinjaman belum dipersetujui.
"Sindiket akan memaksa peminjam membuat pembayaran dengan mengenakan kadar faedah yang tinggi antara 20 hingga 50 peratus daripada jumlah pinjaman yang diberikan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435, Seksyen 436, Seksyen 247 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA