Polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita tempatan di sebuah rumah di Taman Tasik Jaya di sini, pada 8 Disember lalu selepas dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh berkata kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 9.50 malam dan polis turut merampas barangan hasil samun bernilai hampir RM10,000.

"Suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Myanmar berusia 28 tahun, lelaki Bangladesh berusia 36 serta wanita tempatan berumur 35 tahun.

"Antara barangan hasil samun yang dirampas adalah telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai RM1,900 serta pisau lipat.

"Hasil siasatan mendapati suspek melakukan samun menggunakan pisau dan telah melakukan enam samun di sekitar Seremban dan beberapa kes lagi di Nilai dan Selangor," katanya.

Thiew berkata premis yang disamun di sekitar Seremban antaranya adalah kedai kek, rumah, kedai perabot dan taska.

"Kumpulan ini akan membuat tinjauan ke atas premis yang disasarkan dan jika ada peluang mereka akan masuk samun. Senjata yang digunakan hanya bertujuan untuk menakutkan mangsa.

"Ketika melakukan samun, mereka biasanya bergerak seorang atau bertiga menaiki motosikal. Kita juga masih memburu tiga lagi rakan jenayah suspek yang juga merupakan warga Myanmar," katanya sambil menambah kumpulan itu dipercayai aktif sejak September lalu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 serta 385 Kanun Keseksaan dan suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, esok.

--BERNAMA