Polis tahan tiga lelaki termasuk warga Thailand edar 29.8 kg ganja

Adie Sufian Zulkefli
Januari 27, 2023 13:01 MYT
Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir (kiri) menunjukkan sebahagian daripada 29 ketulan mampat ganja yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kilometer 3, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Sabtu lalu.
ALOR SETAR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja apabila berjaya menahan tiga lelaki terdiri daripada seorang warganegara tempatan dan dua rakyat Thailand bersama 29.8 kilogram ganja mampat dalam serbuan di sebuah rumah di Kilometer 3, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, pada pukul 11.10 malam.
Ahmad Shukri berkata, lelaki tempatan yang ditahan berusia 48 tahun disyaki tokan dadah, manakala dua warganegara Thailand berusia 45 dan 34 tahun itu pula dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’.
“Salah seorang daripada suspek berusia 45 tahun telah membawa polis ke kawasan semak berhampiran rumah tersebut dan telah menunjukkan dua guni berwarna kuning yang diletakkan di dalam semak.
“Hasil pemeriksaan dalam guni tersebut telah menemui 29 ketulan mampat masing-masing dibaluti dengan pita pelekat lutsinar mengandungi dedaun mampat kehijauan disyaki dadah jenis ganja,” kata beliau.
Ahmad Shukri berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Shukri, pemeriksaan yang dijalankan dalam kedua-dua guni tersebut menemukan 29 ketulan mampat ganja seberat kira-kira 29.8 kg.
Kesemua dadah itu, jelas beliau, dipercayai diseludup dari Thailand melalui jalan darat.
Beliau turut berkata, ganja yang dianggarkan bernilai RM74,675 itu boleh digunakan kira-kira 130,000 penagih.
Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan wang tunai berjumlah RM6,000.
Hasil ujian urin dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis methamphetamine dan tetra hydro cannabinol (THC).
Menurut Ahmad Shukri, siasatan lanjut mendapati lelaki tempatan itu bekerja sebagai pekebun dan rumah serta kenderaan dirampas dipercayai miliknya.
Suspek turut memiliki rekod jenayah berkaitan dadah, manakala dua lagi suspek yang berasal dari Satun dan Songkhla tidak memiliki rekod lampau.
Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari hingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#ganja #sindiket pengedaran ganja #dua rakyat Thailand #Ketua Polis Daerah Kota Setar
;