Polis tahan tiga lelaki, rampas senjata
Bernama
Mac 23, 2018 16:25 MYT
Mac 23, 2018 16:25 MYT
Polis menahan tiga lelaki dan merampas sepucuk rifle bersama peluru serta dua motosikal dan sebuah pajero yang sebelum ini dilaporkan hilang di Kuching, dalam satu operasi di Ladang Raso, Lundu, kira-kira 100km dari sini, awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata berdasarkan semakan dokumen pengenalan diri, ia menunjukkan bahawa dua daripada lelaki itu adalah anggota tentera dari negara jiran.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi ini, kedua-dua lelaki itu ditahan selepas polis mememeriksa sebuah motosikal yang datang dari arah sempadan negara, dan siasatan mendapati motosikal yang ditunggang mereka adalah motosikal yang dilaporkan hilang di Sekama, Kuching tahun lepas.
"Salah seorang suspek didapati membawa rifel jenis SS1 bersama satu kelopak dan 15 butir peluru," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya semasa polis sedang menjalankan soal siasat sebuah pajero yang dipandu laju dari arah Lundu menghala sempadan negara tiba-tiba berhenti dikawasan berdekatan apabila melihat kehadiran anggota polis di kawasan itu.
Dev berkata dua lelaki kemudiannya keluar dari kenderaan itu dan terus melarikan diri ke kawasan ladang sawit berhanpiran, namun polis berjaya menahan salah seorang daripadanya, manakala seorang lagi melarikan diri.
"Semakan mendapati Mitsubishi Pajero itu dilaporkan hilang pada 22 Mac lepas manakala sebuah motosikal yang dibawa atas kenderaan pajero itu didapati didapati dilaporkan hilang di Kota Samarahan tahun ini," katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek kini ditahan di Ibupejabat Polis Daerah Lundu untuk siasatan lanjut dan kes sedang disiasat mengikut Akta Senjata Api 1960 dan kesalahan-kesalahan berkaitan imigresen.
-- BERNAMA