Polis tahan tiga lelaki pasang peranti penggodam di ATM

Bernama
Februari 19, 2019 10:47 MYT
Hasil pemeriksaan di sebuah mesin ATM mendapati terdapat alat mencurigakan di atas ruangan 'keypad' (papan kekunci) dan ruangan untuk memasukkan kad. - Gambar hiasan
Polis menahan tiga lelaki tempatan selepas dipercayai memasang alat peranti penggodam di sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) di Jalan Changkat Bukit Bintang di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah berkata mereka yang berumur 30, 33 dan 48 tahun itu ditahan di sebuah kedai serbaneka 24 jam berdekatan mesin ATM terbabit.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, lima anggota unit rondaan bermotosikal (URB) Balai Polis Tun HS Lee membuat pemeriksaan di sebuah mesin ATM dan mendapati terdapat alat mencurigakan di atas ruangan 'keypad' (papan kekunci) dan ruangan untuk memasukkan kad.
"Hasil pemeriksaan mendapati peranti itu merupakan satu unit komponen pengimbas kad kredit atau debit yang dilekatkan pada ruangan masuk kad.
"Satu lagi adalah alat perakam video yang dilekatkan pada ruangan atas keypad," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
#ATM #Bukit Bintang #godam #mesin pengeluaran automatik #Shaharuddin Abdullah
;