Polis tahan tiga lelaki disyaki terlibat kes ragut di Subang Jaya
Bernama
November 16, 2024 22:53 MYT
November 16, 2024 22:53 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki disyaki terlibat dalam kes ragut seutas rantai emas bernilai RM30,000 di Subang Jaya di sini pada 12 Okt lepas ditahan dalam serbuan berasingan semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an ditahan di Petaling Jaya dan Subang Jaya susulan laporan seorang lelaki tempatan yang mendakwa disamun seorang daripada suspek.
"Kesemua suspek masing-masing bekerja sebagai penghantar dokumen, pembeli emas dan pembantu kedai emas dengan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah dan narkotik.
"Semasa serbuan turut dirampas beberapa barang kemas dan resit pembelian emas serta sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Azlan berkata seorang daripada lelaki tersebut direman tiga hari hingga 18 Nov manakala dua lagi direman sehari.
"Hasil tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes ragut di Subang Jaya dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan suspek di daerah lain," katanya.
-- BERNAMA