Polis tahan tiga lelaki curi mesin token dan CCTV di dobi

Adie Sufian Zulkefli
Julai 18, 2022 13:00 MYT
Semasa penahanan suspek polis turut merampas sebuah mesin token yang dibuang di dalam sawah padi selepas suspek mengambil wang tunai di dalamnya.- Foto PDRM
ALOR SETAR: Polis menahan tiga lelaki yang dikehendaki selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri dua unit mesin token dan dua unit kamera litar tertutup (CCTV) yang bernilai RM8,000 di sebuah kedai dobi di Jalan Langgar dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan pada jam 10.43 pagi tadi kurang daripada 24 jam laporan yang dibuat pemilik dobi berkenaan malam tadi.
“Sebaik polis menerima laporan gerakan mengesan suspek dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
"Hasil risikan ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia sekitar 30-an itu berjaya ditahan di tiga lokasi berasingan sekitar bandar raya ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Shukri berkata, semasa penahanan suspek polis turut merampas sebuah mesin token yang dibuang di dalam sawah padi selepas suspek mengambil wang tunai di dalamnya.
Katanya, kesemua suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut dan permohonan reman akan dilakukan segera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan curi dalam bangunan.
#Manchester United #Liga Perdana Inggeris
;