Polis tahan tiga individu disyaki dera kanak-kanak di Jempol

Bernama
Julai 30, 2022 09:03 MYT
Polis sebelum ini mengesan tiga individu berusia antara 21 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan kes dera membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Polis menahan seorang lelaki dan dua wanita hari ini dipercayai mempunyai kaitan kes mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Mahsan, Bandar Seri Jempol.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata mereka ditahan pada 11.30 pagi selepas hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol bagi membantu siasatan kes itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 42 tahun itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan satu rekod berkaitan dadah.
"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan permohonan reman ke atas mereka akan dilakukan esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan tiga individu berusia antara 21 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan kes dera membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Mreka yang masing-masing yang beralamat di Taman Seri Mahsan, Jempol, merupakan bapa dan ibu saudara serta sepupu mangsa.
Kanak-kanak tersebut didapati mempunyai kesan melecur, lebam, luka, parut dan kecederaan lain pada keseluruhan badan serta sedang dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah selain telah dirujuk kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jempol.
-- BERNAMA
#kes dera #Kanak-kanak #Jempol #PDRM