Polis tahan tiga 'doktor' dadah
Bernama
Julai 19, 2022 05:21 MYT
Julai 19, 2022 05:21 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga pembekal dadah di pusat hiburan di sekitar ibu negara yang digelar 'doktor' adalah antara 180 individu ditahan dalam operasi khas pusat hiburan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20an dan 40an yang terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga asing itu ditahan dalam operasi tiga hari bermula pada 15 Julai lepas yang turut menyaksikan rampasan beberapa jenis dadah.
Beliau berkata gelaran 'doktor' itu digunakan pelanggan untuk suspek kerana kemahiran mereka mencampurkan beberapa jenis dadah sebelum dijual di pasaran.
"Mereka ini biasanya mencari pelanggan di pusat-pusat hiburan, bar dan juga pusat karaoke. Mereka sudah aktif sekitar enam bulan," katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya tindakan tersebut menunjukkan Polis Kuala Lumpur sentiasa mengambil tindakan dalam memastikan tiada pusat hiburan di Kuala Lumpur dijadikan lubuk pengedaran dadah.
Dalam operasi itu sebanyak 20 pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur telah diserbu.
-- BERNAMA