Polis tahan tiga beranak bantu siasatan penemuan sepucuk pistol angin
Bernama
Jun 18, 2021 15:57 MYT
Jun 18, 2021 15:57 MYT
KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki bersama ibu dan bapanya bagi membantu siasatan penemuan sepucuk pistol angin serta lima biji peluru hidup yang disembunyikan di rumah mereka di Kampung Pauh, Pasir Mas, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, lelaki berumur 34 tahun bersama bapanya, 68, dan ibunya, 61, ditahan sepasukan pegawai dan anggota Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Pasukan Operasi Risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Pasir Mas kira-kira 9.30 malam.
"Tiga individu tersebut berada di rumah itu ketika serbuan dibuat. Ketika pemeriksaan dilakukan di bahagian belakang rumah dua tingkat itu, anggota telah ternampak sebiji pasu berwarna putih mutiara yang bertutup dengan plastik warna kuning.
"Dengan disaksikan pemilik rumah, polis telah membuat pemeriksaan lanjut menemukan satu batang komponen senjata api, satu pucuk pistol angin jenis Revolver dan lima butir peluru hidup," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata selain rampasan pistol angin dan lima biji peluru hidup itu, polis juga merampas satu komponen senjata api, tiga telefon bimbit dan dua kereta jenis Suzuki Swift dan Volkswagen.
"Hasil soal siasat awal lelaki berumur 34 tahun itu menafikan pistol angin serta peluru tersebut miliknya dan tidak tahu akan keberadaannya di dalam pasu tersebut. Susulan penemuan itu, polis telah menahan kesemua individu di dalam rumah itu dan dibawa ke IPD Pasir Mas bersama rampasan bagi tindakan lanjut," katanya.
Mohd Nasaruddin berkata, siasatan lanjut yang dilakukan mendapati pemuda yang bekerja sebagai peniaga rokok, beras dan pakaian seludup itu turut memiliki 17 rekod jenayah lampau termasuk melibatkan kes dadah.
Jelasnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan polis kini dalam proses untuk mendapatkan perintah tahanan reman ke atas kesemua suspek.
Difahamkan, pistol yang dirampas akan dihantar ke Unit Persenjataan dan Bahagian Kimia untuk diuji.
-- BERNAMA