Polis tahan suri rumah disyaki curi beg tangan, barang kemas

Bernama
Disember 16, 2022 19:38 MYT
Polis Kelantan menahan seorang suri rumah yang dipercayai mencuri beg tangan berisi wang tunai dan barang kemas milik seorang peniaga wanita di Pasar Awam, Tanah Merah, Selasa lepas. - Gambar hiasan
TANAH MERAH: Polis Kelantan menahan seorang suri rumah yang dipercayai mencuri beg tangan berisi wang tunai dan barang kemas milik seorang peniaga wanita di Pasar Awam, Tanah Merah, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata ketika kejadian 5 petang itu, mangsa sedang mengemas untuk menutup kedai runcitnya dan mendapati beg tangan yang diletakkan di bawah rak jualan telah hilang.
"Hasil pemeriksaan lanjut pada kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berdekatan mendapati suspek perempuan berusia 30an telah masuk ke dalam kedai mangsa sebelum keluar membawa beg tangan mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, di sini hari ini.
Beliau berkata beg tangan itu mengandungi wang tunai RM1,500, tiga utas rantai leher emas, dua bentuk gelang tangan emas dan pelbagai dokumen penting bernilai kira-kira RM21,000.
Katanya suspek yang mempunyai dua orang anak berusia lapan dan sebelas tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Salor, Kota Bharu pada 8 malam Rabu lepas.
POLIS-TAHAN 2 (AKHIR) TANAH MERAH
"Hasil siasatan awal, suspek sempat menjual kesemua barang emas yang dicuri itu kepada seorang peniaga emas di Kota Bharu," katanya.
Mohd Haki berkata wanita itu mendakwa ini kali pertama dia melakukan jenayah kerana desakan hidup memandangkan suaminya hanya bekerja sendiri.
Katanya, suspek direman empat hari bermula 15 hingga 18 Disember dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
-- BERNAMA
#Polis Kelantan #suri rumah curi beg tangan #wang tunai #Pasar Awam Tanah Merah
;