Polis tahan suami isteri disyaki dera anak angkat berumur 4 tahun
Bernama
Januari 16, 2016 11:06 MYT
Januari 16, 2016 11:06 MYT
Polis menahan satu pasangan suami isteri yang disyaki mendera anak angkat mereka yang berumur empat tahun di sebuah rumah di Ulu Sungai Semenggo, Batu 10 Padawan, sekitar 50km dari sini, pada Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata kes itu terbongkar selepas polis yang mendapat maklumat awam mengenai kemungkinan berlaku kejadian penderaan kanak-kanak pada kira-kira pukul 11 pagi Jumaat, bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya sebaik tiba di rumah berkenaan, polis menemui kanak-kanak itu di ruang tamu dengan beberapa kesan luka dan calar di bahagian muka, kepala serta badannya.
Dalam satu kenyataan pada malam Jumaat beliau berkata hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu adalah anak angkat kepada pasangan berkenaan, dan polis terus menahan lelaki berumur 27 tahun bersama isterinya yang berumur 35 tahun di rumah berkenaan untuk siasatan lanjut.
Dev berkata kanak-kanak itu sedang menerima rawatan di hospital.