Polis tahan seorang suspek, rampas 107 paket ketulan mampat disyaki ganja

Bernama
Ogos 5, 2024 08:55 MYT
Yahaya (tiga, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.
KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 107 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering seberat 111,663.51 gram disyaki ganja, di tepi jalan berhampiran medan selera Sungai Ular di Jalan Kuantan-Kemaman di sini Khamis lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kira-kira pukul 9 pagi pada hari berkenaan, petugas Peronda Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) menahan sebuah kenderaan jenis Honda Accord di tepi Lebuhraya LPT 2 di KM 267 menghala ke Kuala Lumpur yang nampak mencurigakan.
Beliau berkata semasa hendak diperiksa, suspek terus bertindak memecut kenderaannya untuk melarikan diri, namun semasa dikejar kenderaan itu terbabas di tepi jalan.
Yahaya berkata suspek yang berumur 48 tahun dari Kelantan itu kemudiannya ditahan selepas polis menemukan dadah disyaki ganja yang dianggar bernilai RM359,600 di dalam but kereta tersebut.
"Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, dan dia kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 2 Ogos bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki itu didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan rampasan minggu lepas itu merupakan rampasan dadah terbesar oleh polis Pahang tahun ini.
-- BERNAMA
#rampasan dadah #LPT2 #polis #Kuantan