Polis tahan seorang lelaki miliki pistol Beretta, peluru dan dadah
Bernama
Mac 12, 2023 17:57 MYT
Mac 12, 2023 17:57 MYT
KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dan merampas sepucuk pistol jenis Beretta bersama sembilan butir peluru hidup dan pil yaba serta ganja dalam serbuan di sebuah bangsal di Taman Desa Rahmat, Guchil di sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pistol itu ditemukan selepas sepasukan anggota polis cuba menahan suspek ekoran maklumat berkaitan dadah kira-kira pukul 9.48 malam sebelum mendapati dia membuang sesuatu ke dalam semak sebelum ditahan.
"Pemeriksaan di tempat kejadian menemui beberapa objek dalam keadaan berselerak di atas rumput dan tiga paket plastik biru gelap berjalur warna merah mengandungi 600 biji pil Yaba.
Turut ditemukan adalah sepucuk pistol semi automatik warna hitam bertulis Beretta USA berisi sembilan butir peluru hidup 9 mm Luger," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Muhamad Zaki berkata siasatan lanjut polis di kawasan bangsal pula menemukan sejumlah dadah jenis ganja seberat 5.7 gram (g) dan 0.5 liter air ketum, selain suspek memiliki dua rekod lampau mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
"Turut disita dalam kejadian ini adalah sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR bernilai RM77,000.
Suspek direman selama tujuh hari bermula 10 Mac untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960," katanya.
-- BERNAMA