Polis tahan semula peguam kontroversi dua jam selepas bayar ikat jamin

Bernama
September 3, 2015 20:53 MYT
Polis menahan semula peguam kontroversi Kamal Hisham Jaafar, dua jam selepas dia membayar ikat jamin atas dua pertuduhan pecah amanah.
Polis menahan semula peguam kontroversi Kamal Hisham Jaafar, dua jam selepas dia membayar ikat jamin atas dua pertuduhan pecah amanah, di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad berkata penahanan terhadap Kamal Hisham kira-kira 3 petang itu, adalah bagi membantu siasatan kes lain, yang dikendalikan pegawai dari Bukit Aman dan Kontinjen Polis Johor.
"Pada masa ini, dia akan ditempatkan di lokap Balai Polis Skudai sementara polis mendapatkan perintah tahanan reman dari mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, bagi kedua-dua pertuduhan itu, Kamal Hisham mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin, sementara menunggu kes tersebut disebut semula pada 30 Sept ini.
Dia didakwa melakukan dua pertuduhan itu antara Disember 2009 dan Oktober 2010.
Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh melakukan pecah amanah berjumlah RM515,000 pada Disember 2009 terhadap syarikat Met Mint (M) Sdn Bhd yang mahu menyewa ruang niaga di Bangunan JB Sentral.
Pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang RM18,000 terhadap Point Convenience Shop Sdn Bhd, bagi tujuan sama pada Oktober 2010.
Kamal Hisham ketika itu merupakan Pengarah Southerns Ads Sdn Bhd, yang diamanahkan Lembaga Pengarah syarikat dengan penguasaan ruang niaga di JB Sentral.
Dia yang menjadi buruan polis Malaysia sejak tiga tahun lepas, ditahan polis Singapura pada 11.15 pagi semalam, sebaik didapati masuk ke negara itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada malam Selasa, dari Timur Tengah.
#Kamal Hisham Jaafar #pecah amanah #peguam kontroversi #Rusli Ahmad
;