Polis tahan remaja lelaki, disyaki rogol pelajar 16 tahun

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 7, 2024 21:45 MYT
Menurut polis, dalam laporannya, pelajar itu mendakwa telah dirogol oleh rakan yang dikenali di sebuah rumah di kawasan Simpang Pulai, dekat Ipoh, pada 31 Julai lalu. - Gambar hiasan
IPOH: Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang disyaki merogol seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek ditahan 31 Julai lalu, ekoran laporan polis yang dibuat mangsa sekitar jam 10.26 malam, hari yang sama.
Menurutnya, dalam laporannya, pelajar itu mendakwa telah dirogol oleh rakan yang dikenali di sebuah rumah di kawasan Simpang Pulai, dekat sini.
Dia kemudiannya telah menerima rawatan serta pemeriksaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
“Bertindak atas maklumat, pada jam 11.30 malam, hari yang sama, pihak polis membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Azizi berkata, hasil semakan, pihak polis mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau.
Menurutnya, pihak polis mendapatkan perintah reman ke atas suspek sebanyak dua kali iaitu selama lima hari mulai 1 hingga 5 Ogos dan empat hari lagi sehingga 9 Ogos untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.
“Pihak polis sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuk kertas siasatan kepada Pendakwa Raya Negeri Perak untuk cadangan pertuduhan ke atas suspek,” tambahnya.
Azizi berkata, pihak polis memandang serius kejadian itu dan menyeru orang ramai agar tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang serta tidak menimbulkan sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.
#remaja #rogol #pelajar #Ipoh