Polis tahan remaja lelaki 13 tahun pandu kereta tanpa lesen

Zulfa Mohamad
Jun 1, 2023 15:15 MYT
Gelagat remaja berkenaan memandu kereta turut dirakam orang awam dan videonya dikongsikan dalam aplikasi WhatsApp dan kemudiannya tular. - Foto ihsan pembaca
BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun sempat memandu sebuah kereta sejauh empat kilometer sebelum dia dan rakannya ditahan polis dalam kejadian di sini, kelmarin.
Sebelum ditahan polis, suspek yang turut ditemani ibunya berusia 40-an memandu kereta di Jalan Rozhan, dekat sini, jam 3 petang sebelum gelagatnya dilihat orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.
Gelagat remaja berkenaan memandu kereta turut dirakam orang awam dan videonya dikongsikan dalam aplikasi WhatsApp dan kemudiannya tular.
Susulan video berdurasi 32 saat itu, polis menahan ramaja tersebut bersama ibu dan rakannya berusia 13 tahun yang juga penumpang kereta tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San dalam satu kenyataan di sini, hari ini, berkata pihaknya mengeluarkan saman ke atas remaja tersebut mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-dua sekali.
Saman turut dikeluarkan mengikut Seksyen 39(1) APJ kerana memandu di bawah umur dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua sekali.
Menurut Cheng San, saman turut dikeluarkan kepada pemilik kereta iaitu ibu suspek mengikut Seksyen 39(5) akta sama kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan.
Selain itu, kereta dipandu remaja tersebut turut disita dan polis turut mengesan rakan suspek yang lain untuk siasatan lanjut.
#kanak-kanak pandu kereta #Bukit Mertajam #polis Seberang Prai Tengah #saman
;