Polis tahan peniaga makanan disyaki miliki bahan seksual kanak-kanak, dewasa

Bernama
Mac 17, 2025 19:20 MYT
Siasatan mendapati bahan seksual yang ditemukan dalam telefon bimbit suspek tidak melibatkan kanak-kanak tempatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang peniaga makanan kerana disyaki memiliki bahan seksual kanak-kanak dan dewasa dalam satu operasi bersama pihak berkuasa luar negara di Kuching, Sarawak semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Siti Kamsiah Hassan berkata hasil penahanan lelaki berusia 36 tahun itu, polis menemukan pelbagai bahan berunsur penderaan seksual kanak-kanak dan dewasa dalam telefon milik suspek.
"Ketika disoal siasat, lelaki itu memberikan alasan menyimpan bahan berkenaan untuk keseronokan sendiri.
"Siasatan juga mendapati bahan seksual yang ditemukan dalam telefon bimbit terbabit tidak melibatkan kanak-kanak warga tempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
-- BERNAMA
#bahan lucah #Bukit Aman #Telefon bimbit #PDRM
;