Polis tahan pengguna Facebook ugut petugas Jabatan Veterinar Sarawak

Bernama
Januari 7, 2018 18:38 MYT
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata suspek ditahan pada 10.50 pagi ini di rumahnya di BDC Stampin. - Gambar fail
Polis menahan seorang pegawai bank berumur 34 tahun berhubung catatan Facebook yang mengugut seorang petugas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata suspek ditahan pada 10.50 pagi ini di rumahnya di BDC Stampin, di sini, oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Padawan.
Dev Kumar berkata suspek membuat catatan berbaur ugutan terhadap Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dalam sebuah halaman Facebook yang memperjuangkan nasib anjing liar.
Suspek didakwa menghasut pengikut halaman Facebook itu untuk membuat sekatan jalan raya dan melepaskan anjing liar yang ditangkap itu.
"Dia turut mencadangkan penggunaan langkah yang melampau untuk menghalang operasi jabatan itu untuk menangkap anjing liar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dev Kumar berkata polis turut merampas telefon bimbit suspek, yang ketika ini ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata polis sedang mengesan seorang lagi pengguna Facebook yang mencadangkan supaya dibunuh anggota yang terlibat dalam operasi untuk menangkap anjing liar, dan menambah, identiti wanita itu telah pun dikenal pasti.
-- BERNAMA
#Datuk Dev Kumar #Facebook #Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak #Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak
;