Polis tahan pengasuh disyaki tampar bayi lapan bulan
Bernama
Januari 15, 2022 23:28 MYT
Januari 15, 2022 23:28 MYT
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita yang disyaki menampar bayi lelaki berusia lapan bulan di sebuah rumah di Bandar Tasik Permaisuri Cheras di sini, Rabu lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Kuala Lumpur, ACP Kamaruzaman Elias berkata wanita berusia 48 tahun yang merupakan pengasuh kepada mangsa itu ditahan selepas ibu bayi berkenaan yang berusia 25 tahun membuat laporan berhubung kejadian pada pukul 11.29 malam hari sama.
Menurutnya, ibu bayi itu mendakwa pipi kanan anak bongsunya kemerah-merahan ketika mengambilnya dari rumah pengasuh.
"Siasatan mendapati pengasuh mengaku tidak sengaja menampar pipi mangsa ketika berada dalam buaian selepas dikatakan sering muntah.
Suspek (pengasuh) dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil dan kita tunggu laporan penuh perubatan mangsa sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk nasihat dan arahan pertuduhan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kertas siasatan dibuka dan diklasifikasikan sebagai kes penderaan kanak-kanak yang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kamaruzaman menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan berita daripada sumber tidak sahih dan boleh mengganggu siasatan polis.
-- BERNAMA