Polis tahan pengasuh dipercayai hempas kepala bayi 7 bulan

Abd Razak Mohd Ali
September 24, 2021 19:05 MYT
Bayi berusia tujuh bulan itu ketika ini berada dalam keadaan tidak sedar dan kritikal. - Gambar hiasan
IPOH: Polis menahan seorang pengasuh wanita yang dipercayai menghempas kepala bayi berusia tujuh bulan sehingga dia mengalami kecederaan parah kerana marah mangsa tidak berhenti menangis, baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek berusia 22 tahun dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.
“Pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap kes tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pada jam 3.03 pagi Khamis, polis menerima satu laporan berkenaan cubaan bunuh terhadap bayi berusia tujuh bulan.
Beliau berkata, menurut laporan itu, kira-kira jam 7.10 pagi Rabu, mangsa telah dihantar bapa kandungnya ke rumah pengasuh di Taman Desa Pelancongan di sini, dalam keadaan sihat dan baik.
“Bapa mangsa telah dihubungi oleh pengasuh berkenaan pada jam 2.35 petang untuk datang semula ke rumah pengasuh untuk mengambil mangsa kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker'.
"Setibanya ke rumah pengasuh, bapa mangsa mendapati kepala bayinya mengalami kesan bengkak dan dimaklumkan bahawa mangsa terjatuh ketika didukung.
“Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan didapati mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepalanya retak,” katanya.
Menurutnya, mangsa ketika ini berada dalam keadaan tidak sedar dan kritikal.
#dera bayi #pengasuh #hempas kepala #Ipoh
;