Polis tahan pengasuh dera kanak-kanak dua tahun

Bernama
September 5, 2023 22:18 MYT
Zam Halim berkata bapa mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan kira-kira 11.28 pagi semalam. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini semalam, kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan di bawah jagaannya.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata suspek yang merupakan wanita tempatan berumur 28 tahun didapati melakukan perbuatan terbabit terhadap mangsa yang berusia dua tahun sehingga cedera di kepala dan tangan.
Zam Halim berkata bapa mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan kira-kira 11.28 pagi semalam.
"Wanita berkenaan ditahan selepas datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 1 tengah hari, hari yang sama.
"Suspek ditahan selama 24 jam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras menerusi talian 03-9284 5050/ 5051 dan Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999.
Hari ini, tular dua video masing-masing berdurasi seminit 10 saat dan 56 saat melalui Facebook memaparkan seorang wanita mencederakan seorang kanak-kanak perempuan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.
-- BERNAMA
#pusat jagaan kanak-kanak #laporan polis #pengasuh #Facebook
;