Polis tahan pengangggur, rampas lebih 60 kg bernilai RM203,632

Bernama
September 11, 2024 23:33 MYT
Ravindar Singh Sarban Singh (dua,kanan) menunjukkan dadah jenis Kanabis ketika sidang media di IPD Cheras hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang penganggur dan merampas ganja seberat 65.6 kilogram (kg) dianggar bernilai RM203,632 dalam dua serbuan di kondominium di Cheras dan Segambut, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ravindar Singh Sarban Singh berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan di Cheras pada 9 malam, yang kemudian membawa kepada penemuan ganja seberat 62.56 kg hasil pemeriksaan di unit kondominium di situ.
Beliau berkata turut dirampas sebuah kereta Perodua Axia dan wang tunai RM100.
"Hasil soal siasat terhadap lelaki itu, polis bertindak ke sebuah lagi kondominium di Segambut dan pemeriksaan menemukan 3.1 kg ganja bersama peralatan penimbang dan 'vacuum sealer', dipercayai digunakan dalam pembungkusan dadah itu," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Ravindar Singh berkata siasatan awal pihaknya mendapati suspek yang bergerak aktif sejak awal tahun ini menyewa kondominium di Segambut bagi menyimpan dan membungkus semula dadah dibeli.
Beliau berkata lelaki itu dipercayai membeli dadah berkenaan daripada seorang individu tempatan di bandar raya ini sebelum dibungkus semula dalam pek seberat lima gram hingga satu kilogram untuk dijual kepada penagih.
"Dianggarkan jumlah dadah dirampas boleh digunakan 131,370 penagih dan berikutan itu polis sedang memburu individu yang dipercayai membekal dadah kepada suspek," katanya.
Beliau berkata lelaki itu direman seminggu hingga esok dan dijangka disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
#Perodua #ganja #peralatan penimbang #reman
;