Polis tahan pencuri kayu warga Filipina
Radhi Muslim
Disember 15, 2019 11:47 MYT
Disember 15, 2019 11:47 MYT
Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan dan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) berjaya membongkar kegiatan mencuri kayu tangar di Hutan Simpan Terusan, Kinabatangan, didalangi warga Filipina.
Dalam satu serbuan pada Sabtu, dua lelaki berumur 34 dan 55 tahun diberkas ketika leka mencuri kayu tangar di hutan simpan berkenaan.
Lebih mengejutkan, dua suspek mengakui datang dari Filipina sejak enam hari lalu dan sudahpun mendirikan khemah bagi menjalankan kegiatan mengaut hasil hutan negara.
Pegawai Memerintah, Batalion 15 PGA Sandakan, Supt Toipi Lamat, berkata sebelum serbuan dijalankan seramai tujuh anggota PGA dan 15 staf JPS melakukan rondaan di kawasan hutan simpan bermula jam 7.30 pagi, pada Sabtu.
Menurutnya, anggota bertugas menemui kawasan penebangan pokok tangar yang disyaki dicuri untuk mengambil kulit pokok terbabit.
"Dua lelaki turut ditahan bersama peralatan menebang pokok serta 200 kilogram (kg) kulit pokok tangar yang ditemui bersama suspek.
"Siasatan mendapati suspek dihantar menggunakan bot dari Pulau Kagayan, Filipina, ke Kinabatangan, dan tinggal di situ sejak enam hari lalu.
"Mereka dihantar untuk bekerja dengan bayaran kira-kira RM1 untuk setiap 1kg kulit kayu tangar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dua suspek tersebut diberkas untuk siasatan lanjut, tambahnya.
#curi kayu
#Filipina
#hasil hutan negara
#hutan simpan
#Jabatan Perhutanan
#kayu tangar
#Kinabatangan
#kulit pokok
#polis
#Sabah
#Sandakan
#siasatan
#suspek