Polis tahan pemilik resort yang didakwa jadikan surau sebagai tokong

Astro Awani
Ogos 12, 2013 18:10 MYT
Polis telah menahan pemilik Resort Tanjung Sutera, Tanjung Sedili, Kota Tinggi yang dikatakan membenarkan surau di pusat peranginannya dijadikan tempat upacara agama Buddha.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pemilik berkenaan di tahan di resortnya jam 2.00 petang Isnin.
Pihak polis juga akan mendapatkan perintah reman bagi membolehkan pemilik resort berusia 45 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut seksyen 295 kanun keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama golongan lain.
Sabit kesalahan tegasnya boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Polis dijangka membawa pengurus terbabit ke Mahkamah Kota Tinggi esok untuk kebenaran menahan reman beliau.
Upacara sembahyang itu disedari oleh seorang pengunjung resort yang hendak menunaikan solat asar petang Sabtu.
Seramai 12 penganut agama berkenaan dan seorang sami dikatakan melakukan upacara sembahyang itu yang termasuk meletakkan gambar patung.
Sementara itu, video yang memaparkan surau dijadikan penganut Budha sebagai tempat untuk upacara keagamaan di sebuat resort di Kota Tinggi, Johor mula menjadi perbualan hangat.
Menurut laporan akhar Berita Harian, video berdurasi 85 saat menampilkan sekumpulan individu dari Singapura dan seorang sami Buddha. Lambang agama turut diletak di bawah kedudukan ayat suci al-Quran.
“Perkara ini tidak sewajarnya berlaku. Mereka perlu faham undang-undang Malaysia kerana tindakan itu bukan sahaja mengguris perasaan, malah menghina Islam,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut kepada akhbar berkenaan.
Sementara itu, pemilik resort yang merupakan warga Singapura yang mempunyai taraf Penduduk Tetap negara ini berkata beliau membenarkan kumpulan berkenaan menggunakan Surau namun tidak tahu mereka juga akan menggunakan peralatan keagamaan.
“Saya tidak berniat menyakiti hati mana-mana pihak. Niat saya adalah untuk menunjukkan Islam adalah agama sejagat dan bertoleransi,” katanya yang juga beragama Islam.
Klik disini untuk menonton video berkenaan.
#meditasi #Penasihat Majlis Agama Islam Johor #penganut Budha #Surah #video
;