Polis tahan pasangan kekasih, rampas pistol dan dadah bernilai RM4.73 juta
Bernama
April 29, 2024 18:38 MYT
April 29, 2024 18:38 MYT
SHAH ALAM: Polis menahan sepasang kekasih dipercayai terlibat kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.73 juta dalam serbuan di sebuah kondominium di Puchong Jaya, dekat sini, Sabtu lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock berisi 15 butir peluru, sebuah mesin 'single punch' dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah serta menyita dua kereta Mercedes-Benz bernilai RM178,600.
"Setelah lebih sebulan melakukan risikan, JSJN Selangor pada 27 April menyerbu kondominum itu kira-kira 3.15 pagi dan menahan pasangan terbabit di lobi kondominium.
"Pasangan itu kemudian menunjukkan rumah sewa mereka yang disyaki digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah dan pemeriksaan menemukan dadah jenis pil erimin 5 seberat 2 gram dan syabu dianggar seberat 1.6 gram di ruang tamu rumah itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Khaw berkata dengan dipandu arah oleh suspek, polis kemudian menemukan ke sebuah kereta jenis Hyundai Elantra yang di parkir di tepi jalan berdekatan kondominium dan pemeriksaan menjumpai sejumlah pil serta serbuk dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 26,500 gram, ketamin (5,462 gram), heroin (1,377 gram) syabu (1,042 gram) dan pil ekstasi seberat 548 gram.
Beliau berkata sepucuk pistol jenis Glock berisi 15 butir peluru, 17 butir peluru hidup dan sebuah mesin yang dipercayai alat untuk menghasilkan dadah turut ditemukan di dalam kenderaan itu.
Khaw berkata modus operandi kegiatan itu yang dipercayai aktif sejak tiga bulan lepas adalah dengan menyediakan bekalan dadah dan memasarkannya kepada pelanggan secara borong dan runcit termasuk mengedarkannya ke pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.
"Semakan mendapati lelaki berumur 32 tahun yang dipercayai bertindak selaku ketua sindiket itu mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah dan empat rekod jenayah, manakala wanita berusia 32 tahun itu pula enam rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah.
"Saringan air kencing terhadap kedua-duanya yang tidak bekerja itu mendapati mereka positif amphetamine, methamphetamine dan benzo," katanya dan menambah siasatan mendapati hanya mereka berdua terbabit dalam kegiatan itu dan tidak mempunyai kaitan dengan kongsi gelap.
Menurut Khaw pasangan itu direman hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
#sepasang kekasih ditahan
#kegiatan pengedaran dadah
#Puchong Jaya
#Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
#Khaw Kok Chin
#pistol jenis Glock