Polis tahan lima penganggur terlibat dadah dan miliki senjata
Afiezy Azaman
November 14, 2019 11:31 MYT
November 14, 2019 11:31 MYT
Polis menahan lima lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah dan memiliki senjata api di sekitar Petaling Jaya, Selangor, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din kejadian berlaku pada 2 petang ketika anggota peronda mengekori sebuah kereta jenis Perodua Alza yang berada dalam keadaan mencurigakan yang dinaiki kesemua suspek berumur 19 hingga 34 tahun.
“Anggota kemudian menahan kereta tersebut namun, pemandu enggan memberhentikan kenderaan dan terus memecut untuk melarikan diri.
“Ketika aksi kejar-mengejar kenderaan dinaiki suspek melanggar beberapa buah kereta dan motosikal milik orang awam di Jalan SS2/35 Petaling Jaya sekaligus terbabas ke dalam longkang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Zani berkata kesemua suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sea Park untuk tindakan lanjut.
“Hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek terlibat dalam najis dadah dan polis turut merampas sebilah parang, kayu panjang, enam tiub dadah disyaki dadah jenis heroin dan sebuah kereta jenis Perodua Alza.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjaya Berbahaya 1958, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya lagi.
#Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din
#Balai Polis Sea Park
#Dadah
#heroin
#kereta
#Ketua Polis Daerah Petaling Jaya
#Lima
#parang
#Petaling Jaya
#polis
#Selangor
#senjata api
#suspek