Polis tahan lima lelaki warga Thailand tanpa dokumen perjalanan sah
Bernama
Januari 10, 2025 23:45 MYT
Januari 10, 2025 23:45 MYT
PADANG BESAR: Polis menahan lima lelaki warga Thailand yang cuba pulang ke negara asal mereka secara haram di pintu sempadan di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata kesemua mereka berumur antara 18 dan 44 tahun itu ditahan di kawasan Gapura Square di sini pada 8.30 pagi, hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Padang Besar dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
"Dalam operasi itu, sebuah kereta jenis Toyota Unser berwarna hitam telah ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita warga Thailand berstatus pemastautin tetap berusia 43 tahun yang bertindak sebagai pemandu (transporter) bersama lima lelaki warga asing itu.
"Empat daripada mereka memiliki pasport tamat tempoh manakala seorang lagi tiada dokumen perjalanan diri yang sah," katanya pada sidang media di IPD Padang Besar di sini hari ini.
Polis juga merampas wang tunai berjumlah RM4,270, 3,200 Baht dan 920 Riel Kemboja, katanya.
Mohd Shokri berkata hasil soal siasat terhadap pemandu wanita itu membawa kepada tangkapan seorang lagi wanita warga Thailand berusia 34 tahun yang dipercayai menjadi tekong di lokasi sama.
Beliau berkata pemandu itu dipercayai menerima bayaran RM400 daripada tekong berkenaan untuk membawa lima lelaki warga asing dari Kedah ke Padang Besar sebelum dihantar pulang ke negara asal melalui Padang Besar.
Menurut Mohd Shokri kedua-dua wanita itu ditahan reman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala lima lelaki berkenaan ditahan rema 14 hari di bawah Akta Imigresen.
Dalam pada itu, katanya sebanyak 21 kes berkaitan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) direkodkan polis daerah Padang Besar tahun lepas dengan 20 kes dituduh di mahkamah manakala satu kes tiada tindakan lanjut (NFA).
-- BERNAMA