Polis tahan lelaki tumbuk pemandu bas Rapid Penang

Astro Awani
Disember 15, 2018 12:50 MYT
Suspek yang berusia 46 tahun itu berjaya ditahan oleh polis bantuan bas Rapid sebelum dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai. - Gambar hiasan
Berang kerana tidak dibenarkan menaiki bas, seorang lelaki bertindak menumbuk dan meludah seorang pemandu bas Rapid Penang dalam kejadian di Lebuh Macallum, di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika kenderaan tersebut yang dalam perjalanan dari bandar Seri Pinang menuju ke Komtar, berhenti di satu persimpangan lampu isyarat.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, sewaktu menunggu lampu hijau, seorang lelaki mengetuk pintu bas kerana hendak menaiki kenderaan tersebut.
Pemandu bagaimanapun enggan membuka pintu bas kerana lokasi tersebut bukan tempat perhentian.
Namun, suspek yang berjaya membuka pintu dari luar terus meluru kearah pemandu bas dan meludah serta menumbuk muka mangsa selain mengugut untuk mencederakannya.
Che Zaimani berkata, pemandu terbabit bertindak mengunci pintu bas menyebabkan suspek tidak dapat keluar dan memandu kenderaan itu ke stesyen bas di Pengkalan Weld.
Suspek yang berusia 46 tahun itu berjaya ditahan oleh polis bantuan bas Rapid sebelum dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai.
Che Zaimani berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Sekysen 323 akta sama kerana menyebabkan kecederaan.
#bas #bas rapid #Che Zaimani Che Awang #mangsa #pemandu #polis #suspek #tumbuk
;